Peruntukan Tambahan RM700 juta untuk Kemudahan Automasi dan Digital PKS
Embargo :17 Mac 2021
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memaklumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta untuk Kemudahan Automasi dan Digital (Automation and Digitalisation, ADF) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menjadikan jumlah keseluruhan ADF meningkat kepada RM1 bilion.
ADF yang ditubuhkan pada bulan Mac tahun 2020, bertujuan untuk menggalakkan PKS di semua sektor mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
ADF terbuka kepada semua PKS Malaysia, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM3 juta bagi setiap PKS dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan adalah hingga 4% setahun, termasuk yuran jaminan. Perlindungan jaminan disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Kemudahan ini disediakan hingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal. Ciri-ciri ADF dinyatakan dalam Lampiran 1.
PKS juga boleh memohon kemudahan pembiayaan lain di bawah Dana BNM untuk PKS. PKS yang berminat boleh merujuk bnm.gov.my/covid19/ atau menghubungi kami di bnm.my/LINK sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berhubung dengan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh Bank.
Lihat juga: Soalan Lazim
Bank Negara Malaysia
17 Mac 2021
? Bank Negara Malaysia, 2021. All rights reserved.