Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bank Pusat EMEAP (Mesyuarat Eksekutif Bank-Bank Pusat Asia Timur dan Pasifik) ke-29
Embargo : Untuk siaran segera Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1100 pada Selasa, 16 Julai 202416 Jul 2024
Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP[1] ke-29 telah diadakan di Pulau Pinang, Malaysia pada 15 Julai 2024. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Rasheed Ghaffour.
Para Gabenor membincangkan perkembangan terkini ekonomi dan kewangan dengan memberikan tumpuan pada cabaran dasar global yang mendesak termasuk kawalan inflasi serta pengurusan aliran modal dan volatiliti pasaran kewangan. Para Gabenor berkongsi pandangan tentang keberkesanan alat dasar yang digunakan untuk melengkapi dasar makroekonomi tradisional dan menguruskan kesan-kesan limpahan daripada ketidaktentuan luaran. Para Gabenor turut membincangkan inisiatif dan cabaran bagi memudahkan penyelesaian mata wang tempatan untuk perdagangan dan pelaburan termasuk impak inovasi pembayaran rentas sempadan dalam usaha menyokong penyelesaian mata wang tempatan dan menguruskan risiko mudah tunai pertukaran asing.
Para Gabenor mengalu-alukan kemajuan inisiatif EMEAP dalam bidang pasaran kewangan, penyeliaan dan resolusi perbankan, pembayaran dan infrastruktur pasaran serta teknologi maklumat. Para Gabenor juga membincangkan laporan kemas kini Monetary and Financial Stability Committee (MFSC) mengenai perkembangan pasaran ekonomi dan kewangan serta hal-hal lain seperti perkembangan mata wang digital bank pusat serantau dan global, inovasi pembayaran runcit dan memajukan kewangan iklim dalam ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi membangun.
Para Gabenor turut mengesahkan pelantikan Pengerusi MFSC dan kumpulan kerja baharu untuk tahun 2024 hingga 2026.
Para Gabenor mengalu-alukan tawaran Bank of Thailand untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Gabenor EMEAP ke-30 pada tahun 2025.
[1] EMEAP ialah kumpulan kerjasama 11 bank pusat dan pihak berkuasa monetari di rantau Asia Timur dan Pasifik yang terdiri daripada Reserve Bank of Australia, People's Bank of China, Hong Kong Monetary Authority, Bank Indonesia, Bank of Japan, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia, Reserve Bank of New Zealand, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore dan Bank of Thailand.
Bank Negara Malaysia
16 Julai 2024
? Bank Negara Malaysia, 2024. All rights reserved.