Perutusan Gabenor
Pertumbuhan dan perubahan sektor kewangan sejak sekian lama telah membantu menambahbaik taraf kehidupan dan mata pencarian kebanyakan penduduk di Malaysia. Walaupun sektor kewangan telah mengorak langkah jauh ke hadapan, Bank tidak berhenti memikirkan peranan sektor kewangan yang boleh ditingkatkan lagi bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada ekonomi. Khususnya, peranan sektor kewangan dalam membantu menyokong peralihan pembangunan negara ke tahap yang seterusnya.
Dalam dunia kewangan, penggunaan teknologi baharu, peralihan ketara kepada saluran digital dan kemunculan model-model perniagaan baharu telah membuka peluang yang luas untuk penyediaan perkhidmatan kewangan yang lebih baik. Pada masa yang sama, perkembangan ini turut menimbulkan persoalan asas tentang perkhidmatan kewangan itu sendiri dan kaedah pengawalseliaan yang wajar. Demikian juga, perubahan struktur demografi di Malaysia memerlukan idea baharu bagi memudahkan urusan tabungan, pelaburan dan penyediaan jaringan keselamatan sosial yang berkesan untuk penduduk yang kian berumur, meskipun jurang sosioekonomi terus wujud. Kesan terhadap ekonomi akibat perubahan iklim juga mula ketara. Pada masa yang sama, kita dapat lihat terdapat peningkatan dalam tahap kesedaran tentang risiko perubahan iklim kepada sektor kewangan, serta peranan yang boleh dimainkan oleh sektor kewangan dalam peralihan ke arah ekonomi yang lebih lestari dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Seterusnya, haluan masa hadapan bagi sektor kewangan turut dibentuk oleh pandemik ini. Kita harus sedar bahawa kekukuhan dan masa hadapan sektor kewangan berkait rapat dengan ekonomi yang lebih luas, serta persekitaran semula jadi. Semasa pandemik melanda, sektor kewangan memainkan peranan penting dalam menyokong jutaan rakyat Malaysia dan perniagaan ketika sekatan pergerakan dilaksanakan, selain membantu menghidupkan kembali ekonomi apabila ia dibuka semula. Hal ini dapat direalisasikan kerana wujudnya sistem kewangan yang berdaya tahan dan disokong oleh pengurusan berhemat serta pembentukan penampan oleh institusi kewangan sejak bertahun-tahun lamanya.
Tatkala negara mengharungi masa hadapan yang sangat tidak menentu, saya berharap sektor kewangan akan terus menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam kedudukan yang kukuh. Pelan ini menggariskan visi Bank untuk fasa selanjutnya dalam perjalanan ini, di samping strategi-strategi sektor kewangan bagi mencapai hasil yang dihasratkan dari tahun 2022 hingga 2026. Melangkaui sokongan terhadap pemulihan ekonomi, sektor kewangan akan memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia memanfaatkan sepenuhnya detik yang unik dalam sejarah ini bagi merealisasikan landasan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.
Sesungguhnya, menghasilkan Pelan Sektor Kewangan ini bukanlah tugas yang mudah. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha dengan gigih menyelesaikan permasalahan besar yang dinyatakan dalam Pelan ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga ditujukan kepada mereka dari luar Bank Negara Malaysia atas cadangan dan pandangan mereka yang sangat penting ketika membuat pemakluman tentang strategi Bank.
Nor Shamsiah Yunus
24 Januari 2022