Jawatankuasa Dasar Monetari
Matlamat utama dasar monetari di Malaysia adalah untuk mengekalkan kestabilan harga serta memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap perkembangan ekonomi negara. Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar berkaitan dengan cara mengendalikan operasi dasar monetari. MPC membuat keputusan mengenai kadar faedah dasar, iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR), untuk mempengaruhi kadar faedah lain dalam ekonomi.
Dalam melaksanakan mandat ini, MPC menentukan hala tuju dasar monetari berdasarkan penilaiannya terhadap imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan inflasi dan ekonomi dalam negeri. MPC juga memantau risiko keadaan kewangan yang tidak seimbang memandangkan implikasi risiko ini boleh menjejaskan prospek ekonomi. MPC bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun untuk membuat keputusan mengenai OPR. Selepas setiap mesyuarat diadakan, Pernyataan Dasar Monetari disiarkan kepada orang ramai untuk memberikan penjelasan mengenai keputusan yang dibuat.
Ahli-ahli MPC terdiri daripada Gabenor, Timbalan-Timbalan Gabenor, dan ahli lain yang tidak kurang daripada tiga tetapi tidak melebihi tujuh orang, termasuk ahli dari luar Bank yang dilantik oleh Menteri Kewangan atas saranan Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga Bank. Komposisi keahlian MPC yang sedemikian bertujuan untuk menggabungkan pelbagai kepakaran dan pengalaman yang penting untuk membuat keputusan mengenai dasar monetari yang tepat dan menyeluruh.